Panduan Penternakan Kambing

Panduan Penternakan Kambing

1. PENGENALAN

Penternakan kambing adalah perniagaan. Ia merupakan satu bidang usaha yang boleh mendatangkan keuntungan sekiranya ia dijalankan secara terancang, sistematik dan berterusan. Setiap komponen kambing mempunyai nilai pasaran tersendiri. Berikut ialah kegunaan komponen kambing yang mempunyai nilai komersial dan berpotensi untuk dipasarkan.

  1. Kambing – jualan hidup sebagai baka, daging sebagai makanan, haiwan peliharaan
  2. Susu kambing
  3. Kulit dan bulu kambing – kraftangan, tekstil
  4. Tanduk kambing – kraftangan.
  5. Usus – benang jahitan pembedahan.
  6. Tinja – baja organik.

Berbanding dengan penternakan lembu, penternakan kambing tidak memerlukan keluasan kawasan yang besar. Keluasan kawasan minima yang ideal ialah 3 ekar atau bersamaan 1.2 hektar. Kawasan ini boleh dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu kawasan perumahan kambing (seekar) dan selebihnya boleh digunakan sebagai kawasan pengeluaran makanan ternakan – sama ada sebagai foder (sistem potong dan angkut) atau ragutan berpusingan (sistem bebas lepas).

2. PROSPEK PENTERNAKAN KAMBING DI MALAYSIA

Secara am di Malaysia, industri penternakan kambing adalah kecil berbanding komoditi-komoditi ternakan lain. Jika dibandingkan dengan ayam (121.39%), telur (113.79%) dan lembu (24.88%), tahap saradiri pengeluaran kambing dan daging kambing pada tahun 2007 hanya mencapai 8.75%.

Pada ketika ini, Malaysia masih bergantung kepada pengimportan kambing dan daging kambing dari luar negara seperti Australia, New Zealand, Indonesia, Afrika Selatan dan Thailand. Berikut adalah jadual perangkaan pengimportan kambing dan daging dari tahun 2003 hingga 2007.

Jadual 1: Perangkaan import kambing dan daging kambing

Tahun20032004200520062007
Jumlah import kambing61,15261,00067,579133,335126,406
Jumlah import daging kambing11,67116,12715,29816,08617,740
Sumber : Statistik JPV

Peningkatan import di antara 3 hingga 5% pada setiap tahun dengan tahap sara diri hanya mencapai 9% pada tahun 2008 dengan sasaran untuk mencapai 35% pada tahun 2015, penternakan kambing adalah industri yang sentiasa mempunyai permintaan yang tinggi.

3. MEMAHAMI PERKARA ASAS 1: KAMBING

Penternakan kambing adalah satu bidang usaha yang mencabar. Ia bukan sahaja menuntut keupayaan penternak untuk menyediakan makanan dan persekitaran sesuai tetapi juga memerlukan sesiapa sahaja yang ingin menceburi bidang ini untuk sentiasa peka dan memahami tingkah laku serta keperluan aset hidup bernilai ini.

Secara saintifiknya, kambing(Capra hircus) adalah haiwan ruminan kecil yang diletakkan di dalam keluarga Bovidae dengan subfamili Caprinae. Haiwan empat kaki berkuku dua ini berkeupayaan untuk menyesuaikan diri di dalam apa jua keadaan. Namun demikian ia lebih mudah mengadaptasi kawasan yang bercuaca yang panas berbanding sejuk.

Berbeza berbanding ternakan ruminan lain seperti lembu dan bebiri, kambing lebih cenderung untuk memilih dan memamah pucuk serta daun-daun yang muda berbanding meragut di padang rumput. Keupayaan haiwan ini untuk memamah pucuk dan batang tanaman bukan sahaja menjadikan ia berkemampuan untuk hidup di kawasan yang sukar seperti gurun dan bukit-bukau, tetapi juga menjadikan ia sebagai agen biologi kawalan tanaman dan rumpai yang berkesan.

Kambing mempunyai sifat unik yang kurang terdapat pada haiwan gerompok lain iaitu kecenderungan untuk meneroka kawasan. Sifat ini adakalanya memberi masalah pengurusan terutama sekiranya kambing diternak di dalam sistem semi intensif atau ekstensif. Setiap baka kambing mempunyai ciri-ciri yang unik. Secara am, baka kambing boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan baka ternakan mengikut fungsi iaitu

3.1 Baka-baka kambing

Baka-baka kambing yang boleh digunakan untuk keluaran daging biasanya mempunyai badang yang padat jika dibandingkan dengan baka untuk pengeluaran susu. Ambing kambing-kambing jenis ini juga tidak begitu besar seperti baka-baka kambing susu. Susu kambing didapati mempunyai mutu yang lebih baik berbanding dengan susu lembu dan manusia, terutama dari kandungan protin dan lemaknya. Berikut ini dipaparkan Jadual mengenai kandungan susu kambing berbanding dengan susu lembu dan manusia:

Jenis SusuAirLemakProtinGula% Abu
Ibu (Manusia)87.83.81.27.00.2
Lembu87.33.73.34.80.7
Kambing87.64.13.74.70.7

Setiap baka kambing mempunyai ciri-ciri yang unik. Secara am, baka kambing boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan baka ternakan mengikut fungsi iaitu:

  • Kambing Pedaging
  • Kambing Susu
  • Kambing Dwi fungsi

3.1.1. Kambing Kacang (Katjang)

Kambing kacang dipercayai berasal dari Malaysia dan Indonesia. Ianya digunakan untuk keluaran daging. Kambing jenis ini mempunyai badan yang kecil dan pendek dan tanduk yang melentur ke atas dan ke belakang. Telinganya tegak ke sisi. Terdapat janggut pada kambing jantan dan jarang pada betina. Dari sisi, muka kelihatan lurus dan tirus. Leher adalah pendek dan bahagian belakang adalah lebih tinggi dari bahu, purata ketinggiannya ialah 5- – 60 s.m. Kulit badan nipis tetapi mempunyai bulu yang kasar. Warna bulu biasanya hitam, coklat dan kadangkala terdapat tompok-tompok putih di kaki atau badan. Kelahiran kembar adalah salah satu ciri-ciri kambing ini yang baik. Pengeluaran susu adalah sedikit; tidak lebih dari 0.3 kg sehari dalam masa 3 bulan pertama dan 0.2 kg dalam masa 4 – 6 bulan.

Berat LahirBerat Dewasa
Jantan : 1.6 kgJantan : 25 – 30 kg
Betina : 1.8 kgBetina : 20 – 25kg

3.1.2 Kambing Jamnapari / Ettawah

Kambing jenis Jamnapari berasal dari India. Ianya dibawa masuk ke Malaysia dengan maksud dikacukkan dengan kambing tempatan untuk membaiki populasi, genetik ternakan tempatan. Baka ini digunakan untuk keluaran daging dan juga susu (dwiguna). Pandangan dari sisi menunjukkan muka yang cembung (Roman nosed) dan mempunyai telinga yang panjang dan melampai ke bawah. Badan adalah lebih besar dan tinggi dari kambing kacang dan terdapat tanduk yang melentur ke atas dan ke belakang, bulunya agak lebat di bahagian punggung dan daerah leher. Bulunya agak kusut dan berwarna campuran hitam dan kekuningan.

Kambing jenis ini telah pun digunakan secara meluas di Malaysia bagi memperbaiki mutu kambing tempatan.

Berat LahirBerat Dewasa
Jantan : 3 – 4 kgJantan : 68 – 91 kg
Betina : 3 – 4 kgBetina : 36 – 63kg

3.1.3 Kambing Anglo Nubian

Baka Anglo Nubian mempunyai sifat-sifat baka Zariby (Nubian) dari Mesir dan juga baka Jamnapari dari India. Kambing ini disifatkan sebagai tahan lasak dan mudah sesuai dengan alam sekitar. Selain dari pengeluaran daging, baka ini juga boleh digunakan untuk pengeluaran susu (dwiguna). Kambing jenis ini berbadan besar dan mempunyai telinga yang panjang dan melampai ke bawah. Hidung kambing jenis ini melengkung ke bawah dan mempunyai kaki yang panjang dengan purata ketinggian badannya 80 s.m. Kebiasaannya kambing Anglo Nubian tidak mempunyai tanduk tetapi mempunyai bulu badan yang pendek. Warna bulu ialah coklat kemerahan tompoktompok kemerahan seperti warna rusa, coklat putih, warna gelap atau kombinasi warna-warna tersebut.

Pengeluaran susu adalah menggalakkan dan ianya boleh mengeluarkan 2 kg susu satu hari dan 250 – 300 kg bagi satu laktasi.

Berat LahirBerat Dewasa
Jantan : 3.5 kgJantan : 70 – 85 kg
Betina : 3.9 kgBetina : 55 – 70 kg

3.1.4 Kambing Kacukan

Kambing kacukan adalah hasil dari perkahwinan kambing kacang dan baka-baka luar negeri seperti Anglo Nubian, Jamnapari dan juga kacukan dengan baka-baka yang boleh mengeluarkan susu seperti Saanen, Toggenburg dan British Alpine. Kebanyakan kambing yang dilihar di kampung-kampung adalah kambing kacukan, cua 40% dari jumlah kambing di negara ini ialah kambing kacang.

Rupa bentuk biasanya menunjukkan mirip kedua induk dan baka, tidak mempunyai ciri-ciri sendiri. Kambing jenis kacukan ini boleh meningkat berat badan sebanyak 18 – 25 kg dalam lingkungan umur setahun. Kambing kacukan dewasa juga mempunyai berat badan yang lebih tinggi dari kambing kacang. Purata berat badan ketika lahir adalah lebih kurang 2 kg – 2.5 kg seekor.

3.1.5 Kambing Saanen

Kambing ini berasal dari Lembah Saanen di Switzerland. Bulunya pendek berwarna putih atau krim dengan titik hitam di hidung, telinga dan di kelenjar susu. Hidungnya lurus dan muka berupa segitiga. Telinganya sederhana dan tegak ke sebelah dan ke depan. Ekornya tipis dan pendek.

Tanduk didapati pada kedua-dua jantina. Kekacang di leher boleh dilihat pada baka ini. Penghasilan susunya berbeza di antara 500 kg dan 1,200 kg dalam tempoh 250 hari, (purata 800 kg).

Berat LahirBerat Dewasa
Jantan : 3.0 kgJantan : 68 – 91 kg
Betina : 3.3 kgBetina : 36 – 63 kg

Industri ternakan kambing di Malaysia bertujuan untuk menghasilkan susu dan daging. Baka-baka kambing yang dapat mengeluarkan susu dan daging yang baik diimport dari luar negeri seperti Jamnapari, Saanen, Anglo Nubian dan Toggenburg, untuk disilangbiakkan dengan baka tempatan. Hasilnya kita memperolehi anak kambing yang cepat membesar, tahan pada cuaca dan banyak mengeluarkan susu

3.2 Cara-cara pemilihan baka yang baik

Oleh kerana tujuan kita memelihara kambing adalah untuk mendapatkan hasil yang lumayan maka perlulah kita memelihara kambing dari baka-baka yang baik. Kita perlu memilih kambing yang mempunyai sifat-sifat yang dikehendaki. Adalah dimaklumkan bahawa kambing tidak akan mempunyai kesemua sifat-sifat ini tetapi apabila memilih hendaklah dipastikan yang kambing itu mempunyai seberapa banyak yang boleh sifat-sifat yang dikehendaki.

Pemilihan baka boleh dibuat berasaskan beberapa ukuran seperti:

  • Baka dan keturuanan
  • Bentuk badan atau konformasi:
    • Teknik pengamatan
    • Teknik perabaan
    • Teknik berdasarkan penilaian (pemberian markah).

3.2.1 Cara Pemilihan Baka dan Keturunan

Pemilihan cara baka dan keturunan ini memerlukan catatan rekod mengenai prestasi induk kambing tersebut. Pemilihan cara begini adalah sukar kerana kebiasaan catatan tidak dibuat dengan sepenuhnya. Di antara butiran yang perlu di dalam pemilihan cara begitu adalah:

  • Berat semasa dilahirkan adalah tinggi
  • Kenaikan berat badan yang cepat
  • Berat badan semasa 1 tahun
  • Keluaran susu yang banyak
  • Jarak kelahiran yang rapat.

3.2.1 Cara Pemilihan Konformasi Badan

3.2.1.1 Cara-cara pengamatan
SifatJantanBetina
WarnaWarna bebeza mengikut jenis bakaSama
Kulit dan buluLembut, pendek dan berkilat, tiada kulit berlebihan atau berlipat di bawah dagu dan tengkukLembut, pendek, licin dan berkilat tidak kusut
SaizBesar dan berat badan lebih dari 25 kg (had minima berbeza mengikut baka)Sedang atau besar tidak kurang 20 kg (had minima berbeza mengikut baka)
KepalaSederhana, bertanduk atau tidak bertanduk; mata bersinar; dagu sama rataPanjang dan sederhana, bersih, tiada ketul-ketul daging yang berlebihan
Leher dan bahuTidak panjang; berdaging pejalLeher jinjang; bahu kecil dan sempit
DadaBidang dan gempal menunjukkan kekuatanSederhana
RangkaBulat dan sama besar; tulang rangka sama jarak menunjukkan paru-paru yang baikRangka dada lebar dan sama jarak supaya badan nampak bulat. Perut jangan menonjol ke bahagian dada
BadanGempal, panjang besar dan lurusBadan tegap menurun ke hadapan dari perut ke bahu depan
Bahagian belakangLurus, tegap, lebar dan berdaging penuhLurus, tegap dan lebar terutama di bahagian “rump” dan punggung. “Rump” menurun sedikit tidak terlalu mencuram
Kaki hadapanLurus, tegap dan teguh; keduanya selariLurus, kuat, tulangnya baik dan teguh. Keduanya selari
Kaki belakangTegap dan kukuh. Keduanya selari apabila berdiri tegak. Bila berjalan tidak mengarah keluar (meraut). Pastern tidak jatuh dan jari mengadap ke hadapan. Peha lebar dan besarLurus, tegap dan mengadap ke hadapan selari jika dilihat dari belakang; “Hock” pendek sedikit; “Pastern” pendek dan tidak terjatuh
Tapak kakiRata di bawah, memboleh kambing berdiri tegap dan melangkah dengan baik. Kuku pendek dan menghala ke hadapanRata di bawa memboleh kambing berdiri tegap dan melangkah dengan baik. Kuku pendek dan sama rata
Buah zakar dan zakarZakarnya baik dan boleh dikeluarkan dan masuk dengan baik; dua buah zakar yang sama besar tergantung dengan baik dan tidak terlalu labuhRata di bawah memboleh kambing berdiri tegap dan melangkah dengan baik. Kuku pendek dan sama rata
Tetek dan puting susuTeteknya besar dan tergantung dengan baik dan tidak meleret. Kulitnya lembut dan licin. Pembuluh susu nyata tetapi tidak terketul-ketul. Dua puting yang sederhana dan menghala ke hadapan dan terletak dengan baik
TabiatCergas, garang serta gagahCergas
KesihatanSihatSihat
3.2.1.2 Cara perabaan

Cara perabaan adalah perlu apabila kambing yang bakal dipilih itu adalah dari jenis yang mempunyai bulu yang panjang. Ini adalah untuk menentukan kepadatan isi yang mungkin diselubungi oleh bulu atau memastikan tiada sebarang kecacatan.

3.2.1.3 Teknik Berdasarkan Penilaian
Nilai Tertinggi
Betina
Nilai Tertinggi
Jantan
Bahagian tubuh yang dinilai
57KEPALA
Bentuk, mata, hidung, tanduk, telinga
34 Leher dan bahu
1515Dada, lebar dan dalamnya
1015Punggung dan pinggang
35Perut
1512Kaki dan tangan
2022ANGGOTA
Sikap, kekuatan, besarnya persendian dan pergerakannya
56Kulit dan rambut dengan nilai 3 bagi ambing/skrotum yang berambut panjang
186Ambing urat darah, puting susu bagi betina, skrotum bagi jantan
68Keseimbangan di antara bahagian tubuh
100100JUMLAH
Sebelum membeli atau memilih kambing untuk baka, penilaian mestilah dibuat terlebih dahulu. Penilaian ini perlu dibuat terhadap kambing bagi mendapatkan ciri-ciri yang baik. Ianya boleh dinilai melalui konformasi atau keturunan. Kambing yang telah dinilaikan digunakan untuk pembakaan bagi melahirkan anak-anak yang cepat membesar, mengeluarkan susu yang banyak dan mempunyai ketahanan terhadap cuaca dan penyakit.

4. MEMAHAMI PERKARA ASAS 2: SISTEM PENTERNAKAN

Penternakan kambing boleh dikategorikan kepada 3 jenis sistem berdasarkan kaedah pengurusan dan penjagaan ternakan iaitu penternakan secara intensif, semi intensif dan ekstensif. Setiap sistem penternakan ini mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri.

Sistem penternakan intensif menekankan penternakan kambing di dalam kandang. Konsep ini menyamai konsep penternakan lembu fidlot. Ternakan yang dikurung diberikan makanan menggunakan kaedah potong dan angkut. Secara tidak langsung, ia menambahkan beban kerja kepada tenaga buruh. Walaupun bagaimanapun, penggunaan sistem ini boleh mengurangkan kemungkinan berlakunya masalah kecacingan (helmintiasis) dan keracunan makanan. Di samping itu, ternakan lebih mudah dijaga dan dipantau berbanding sistem penternakan secara bebas lepas.

Sistem penternakan semi intensif bermakna ternakan dilepaskan untuk tujuan meragut pada masa ditentukan di kawasan yang ditetapkan. Ini bukan sahaja memudahkan kerja-kerja pembersihan kandang tetapi juga mengurangkan stress atau tekanan kepada ternakan.

Sistem penternakan ekstensif adalah sistem penternakan yang paling kurang dipraktikan oleh ladang-ladang komersil. Sistem ini lebih diamalkan oleh penternak kecil-kecilan atau yang menjalankan aktiviti ternakan sebagai satu hobi. Sifat kambing yang gemar meneroka menyukarkan pengurusan, pengawalan dan pemantauan ternakan. Di antara masalah-masalah yang dihadapi di bawah penternakan sistem ini ialah

  • Kehilangan ternakan
  • Penyakit parasit (kecacingan)
  • Keracunan makanan
  • Kekurangan nutrien.

Amalan perladangan campuran atau ringkasnya perladangan secara integrasi ternakan dan tanaman merupakan salah satu konsep kaedah pengoptimaan tanah bagi mengatasi masalah kekurangan tanah bagi tujuan pertanian dan penternakan.

Di dalam konsep ini, ternakan menggunapakai sumber bahan makanan yang tumbuh melata di antara tanaman utama. Di samping itu, bahan-bahan sampingan pertanian seperti daun sawit di dalam perladangan kelapa sawit boleh digunakan sebagai bahan makanan ternakan. Hubungan duahala ini memberi kelebihan dan keuntungan. Ia mengurangkan kos mendapatkan makanan ternakan dan pada masa yang sama rumput rumpai dibersihkan secara biologi serta tanah dibajai dengan bahan organik sisa ternakan.

5. PROJEK PENTERNAKAN KAMBING.

Projek penternakan kambing dibahagikan kepada 5 komponen utama iaitu

  1. Perancangan projek.
  2. Pembangunan perumahan dan kandang kambing.
  3. Makanan ternakan.
  4. Pengurusan ternakan
  5. Pemasaran

5.1 Perancangan projek

Parameter-parameter berikut adalah penting untuk digunakan di dalam merancang dan memantau perkembangan projek penternakan kambing.

Bil.ParameterJantanBetina
1Keperluan keluasan seekor kambing12 – 15 kaki12 – 15 kaki
2Berat lahir1.5 – 1.8 kg1.2 – 1.8 kg
3Umur kematangan9 bulan6 bulan
4Berat matang28 – 32 kg18 – 23 kg
5Kenaikan berat badan (ADG)100 – 250 sehari100 – 250 sehari
6Nisbah jantan kepada betina125
7Usia cerai susu2 – 3 bulan2 – 3 bulan
8Berat cerai susu12 – 15 kg12 – 15 kg
9Usia pembiakan pertama18 – 20 bulan18 – 20 bulan
10Kitaran estrus21 hari
11Tempoh kebuntingan147 – 150 hari

5.2 PERUMAHAN DAN KANDANG KAMBING.

Terdapat pelbagai jenis, bentuk dan rupa rumah serta kandang kambing. Setiap sesuatu rekaan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Namun demikian, setiap binaan berkenaan perlu memberikan persekitaran yang selesa untuk didiami oleh ternakan. Di samping itu, binaan rumah berkenaan sebaikbaiknya membantu mempermudahkan kerja-kerja pengurusan harian ternakan dilakukan.

5.2.1 Susunatur rumah

Rumah kambing perlu mengikuti susunatur memanjang yang bertentangan dengan arah pergerakan matahari. Sebaik-baiknya cahaya matahari di waktu pagi dan petang boleh mencecah di bahagian tengah rumah. Ini bertujuan merendahkan kadar kelembapan dan menjadikan rumah kambing sentiasa kering.

Jarak minima perumahan kambing di antara satu dan lain perlu sekurangkurangnya 30 kaki atau sama dengan lebar rumah kambing berkenaan. Ini bertujuan memberi ruang aliran udara di antara perumahan yang baik dan merendahkan perpindahan penyakit melalui udara dari satu rumah ke rumah lain.

5.2.2 Atap

Pada ketika ini, terdapat pelbagai jenis atap yang terdapat di pasaran seperti zink, asbestos dan aluminium. Namun demikian, pemilihan bahan sebagai atap perumahan kambing perlu mengambil kira daripada segi kos dan keupayaan untuk tidak menyimpan haba.

Kawasan kandang secara keseluruhannya sebaik-baiknya dilitupi atap yang dapat melindungi ternakan dari hujan dan panas terik matahari. Jarak minima di antara atap bahagian tengah rumah dengan lantai ialah 12 kaki. Sementara itu di bahagian tepi rumah kambing, jarak minima di antara atap dan lantai ialah 8 kaki.

Adalah baik sekiranya di antara atap rumah kambing yang biasa, diletakkan atap yang cahaya(translucent). bersifat Ini tembus bertujuan memberikan pencahayaan semulajadi ke dalam kandang di samping membantu merendahkan kadar kelembapan di dalam kandang.

5.2.3 Lantai Kandang

Bahan yang digunakan sebagai lantai kandang kambing sama ada plastik ataupun kayu perlu bersifat tahan lama, tidak mudah rosak, tidak mudah melekit dan cepat kering. Lantai kandang kambing perlu mempunyai ruang di antara 1 hingga 1.5 cm bagi membolehkan tinja kambing jatuh ke bawah. Sebaik-baiknya batang kayu atau plastik yang digunakan sebagai lantai tidak terlalu lebar (1” X 2”). Ruang keluasan batang kayu atau plastik yang kecil memudahkan kerjakerja pembersihan dilakukan.

Jarak di antara lantai kandang dan lantai bawah di permukaan tanah sebaikbaiknya di antara 5 – 5.5 kaki. Jarak yang lebih rendah akan memungkinkan kambing menghadapi masalah kesihatan seperti mata berair, batuk dan sukar bernafas berpunca dari tinja yang terkumpul di bawah kandang.

5.2.4 Lantai bumi

Ruang lantai bumi sebaik-baiknya disimen dan mempunyai kecerunan lebihkurang 2%. Ini bertujuan menjadikan kerja-kerja pembersihan dan pengumpulan tinja di bahagian hujung kandang lebih mudah kerana dibantu oleh perbezaan titik graviti. Baja organik yang dihasilkan dari tinja yang dikutip dari lantai bersimen adalah lebih berkualiti berbanding lantai bumi yang cuma dilapisi pasir atau tanah.

5.2.5 Tangga rumah kambing

Kebiasaanya tangga rumah kambing diperbuat dari kayu. Namun demikian alternatif yang baik ialah penggunaan tangga yang diperbuat dari konkrit kasar dan kesat. Ini amat berguna terutama sekiranya penternak mengamalkan penternakan sistem semi intensif yang menyebabkan ternakan sentiasa menggunakan tangga untuk turun dan naik ke kawasan kandang. Pergeseran di antara tangga konkrit yang kasar dan kesat dengan kuku kaki kambing secara pasifnya membantu mengurangkan masalah kuku panjang.

5.2.6 Kandang kambing

Keluasan yang bersesuai untuk seekor kambing betina dewasa ialah di antara 12 hingga 15 kaki persegi. Bagi kegunaan 25 ekor kambing betina dan seekor jantan, sebanyak 312 kaki persegi kawasan diperlukan.

Setiap kandang perlu disediakan palong makanan dan palong minuman. Terdapat pelbagai jenis bahan yang boleh digunakan sebagai palong makanan. Di antaranya ialah penggunaan penakung air hujan plastik, tong plastik dan palong buatan yang diperbuat dari kayu. Ketinggian palong makan sebaik-baiknya tidak lebih tinggi dari paras dada kambing dan bersekat. Ini bertujuan menggelakkan kambing dari memasuki tempat makanan dan mengotorinya.

Palong minuman adalah lebihkurang sama dengan palong makanan. Namun demikian kambing mempunyai sifat untuk tidak menggunakan air minuman dari takungan atau palong air yang kurang bersih.

Oleh yang demikian, alternatif terbaik kepada palong minuman ialah penggunaan paip minuman automatik (automated water drinker).

Penggunaan paip minuman automatik ini bukan sahaja menjaga kebersihan minuman ternakan tetapi juga mampu mengurangkan pembaziran air.

5.2.7 Pemagaran kawasan.

Kawasan projek penternakan adalah perlu dipagar bagi mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingin seperti kehilangan ternakan akibat kecurian atau pemangsaan haiwan lain dan kemasukan agen yang berpotensi membawa penyakit.

Jenis pagar perimeter yang boleh digunakan ialah pagar jenis cyclone tightlock high tensile. Alternatif kepada pagar ini ialah penggunaan pagar jenis chain link atau kawat duri. Namun demikian, penggunaan 2 jenis pagar ini kurang efektif berbanding penggunaan pagar jenis cyclone tightlock high tensile.

Terdapat 3 jenis tiang pagar yang boleh digunakan iaitu jenis besi galvani (G.I pipe), angle iron dan kayu. Setiap tiang perlu berukuran 7 kaki keseluruhannya. Tiang berkenaan akan ditanam sedalam 2 kaki dan meninggalkan ketinggian 5 kaki untuk tujuan pemagaran. Jarak di antara tiang ialah 10 kaki.

5.3 MAKANAN DAN MINUMAN

Survival projek penternakan adalah bergantung kepada keupayaan untuk menyediakan makanan ternakan yang cukup kandungan nutriennya dan murah daripada sudut kos pengurusan. Ini adalah kerana lebih dari 70 peratus kos pengurusan datang dari kos makanan ternakan. Kenaikan harga bahan makanan ternakan kesan dari kenaikan harga bahan bakar dunia menyukarkan pengusaha projek ternakan untuk meletakkan pergantungan ke atas sumber makanan ternakan komersil. Oleh yang demikian, adalah penting agar pengusaha projek ternakan untuk membangunkan sendiri pengeluaran sumber makanan ternakan atau mengenalpasti sumber hasil sampingan pertanian yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber makanan ternakan.

Seperti manusia, ternakan juga memerlukan makanan seimbang yang mengandungi zat-zat nutrien seperti protein, karbohidrat, lemak, vitamin dan garam galian. Kekurangan zat-zat ini di dalam makanan ternakan akan membawa kepada masalah kesihatan di dalam jangka masa panjang. Secara tidak langsung menjejaskan prestasi ternakan dan projek ternakan secara amnya.

5.3.1 Zat Nutrien

Setiap zat-zat nutrien mempunyai fungsinya yang tertentu. Zat protein diperlukan oleh badan untuk membina otot-otot yang kuat selain menjadi elemen penting di dalam proses pemulihan. Karbohidrat diperlukan sebagai bekalan tenaga. Demikian juga dengan lemak selain daripada berfungsi sebagai penebat haba, ia juga berfungsi sebagai elemen simpanan untuk digunakan apabila kekurangan karbohidrat.

Vitamin merupakan zat nutrien yang penting walaupun ia cuma diperlukan dalam kuantiti yang sedikit. Kekurangan vitamin boleh menyebabkan beberapa fungsi sel dan organ terjejas yang mana membawa kepada berlakunya penyakit kepada haiwan. Garam galian yang penting seperti kalsium dan fosforus diperlukan untuk pertumbuhan tulang, gigi dan kesihat. Kekurangan garam seperti natrium boleh ketidakseimbangan tekanan bendalir di dalam badan. Berbanding zat-zat lain yang boleh didapati pada sumber makanan ternakan seperti rumput dan dedaun hijau, pemberian garam jilat boleh membantu menampung kekurangan yang mungkin berlaku pada sumber makanan tersebut.

Air adalah antara komponen terbesar di dalam badan ternakan. 70% daripada badan terdiri daripada air. Oleh yang demikian, adalah wajar supaya ternakan sentiasa diberikan sumber air minuman bersih sepanjang masa.

5.3.2 Makanan

Sumber makanan kambing secara amnya boleh dibahagi kepada 2 iaitu makanan utama: rumput atau dedaunan hijau dan makanan tambahan. Penternak selalu digalakkan untuk memperuntukkan sebahagian kawasan untuk tanaman makanan ternakan terutamanya Rumput Napier atau Jagung. Ini adalah kerana 2 tanaman ini mempunyai pengeluaran yang tinggi dan sangat sesuai ditanam untuk kawasan yang kecil. Walaupun demikian, terdapat tanaman lain yang sesuai ditanam dan dijadikan sebagai makanan ternakan. Di antaranya ialah

  1. Rumput Guinea
  2. Rumput Humidicola
  3. Setaria
  4. Centrosema (tanaman kekacang)
  5. Petai Belalang (Leucaena leucocephala)
  6. Daun nangka
  7. Glyridisia

Selain daripada itu, penternak boleh menggunakan bahan-bahan makanan seperti hampas kacang soya, mil kacang, mil ikan sebagai sumber protein. Penggunaan hampas sagu rumbia, dedak padi, lebihan makanan seperti nasi juga boleh diberikan sebagai sumber tenaga.

dedak kambing 4994
Maknanan dedak kambing 4994

5.4 PENGURUSAN TERNAKAN

Secara am, kitaran pengurusan ternakan bermula dengan kelahiran kepada pembiakan seterusnya kebuntingan dan beranak kembali. Berikut adalah peringkat-peringkat pengurusan ternakan:-

5.4.1 Peringkat kelahiran.

Selepas kelahiran, anak kambing mesti diberikan susu awal ataupun kolostrum. Pemberian susu ini adalah penting kerana susu awal kambing yang dihasilkan di sepanjang 3 hari pertama selepas kelahiran mengandungi antibodi yang diperlukan bagi melindungi dari serangan penyakit. Selain daripada itu kolostrum mengandungi zat protein yang tinggi diperlukan oleh badan untuk tumbesaran. Pada kebiasaannya, anak kambing akan menghisap sendiri. Sekiranya anak kambing lemah atau tidak berbuat sedemikian, tindakan memerah dan menggunakan botol susu atau syringe perlu dilakukan bagi memastikan anak kambing kolostrum secukupnya.

Selain daripada memastikan anak kambing mendapat kolostrum, talipusat anak kambing yang didapati panjang perlulah dipotong sekurang-kurangnya setengah inci dari badan. Iodin perlu disapukan pada pusat berkenaan bertujuan mengelakkan menjadi sumber laluan kepada agen penyakit. Di masa awal peringkat kelahiran dalam tempoh 4 hingga 6 minggu pertama, makanan yang secukupnya perlu disediakan secara potong angkut kepada ibu kambing. Ini membolehkan induk berkenaan berehat dan memulihkan diri untuk bersedia pada peringkat seterusnya.

5.4.2 Peringkat cerai susu.

Cerai susu adalah peringat anak kambing dipisahkan daripada ibunya. Namun demikian, peringkat ini perlu dilakukan secara beransur-ansur. Pada ketika anak kambing berusia menghampir 3 atau 4 bulan, sumber makanan seperti rumput atau dedaunan hijau boleh diberikan secara sedikit demi sedikit. Selalunya pada usia ini anak kambing sudah mulai belajar memamah dedaun hijau. Pada lingkungan usia selewat 4 bulan, anak kambing sepatutnya sudah dipisahkan dari ibunya. Selalunya kelewatan melakukan cerai susu kepada anak kambing menyebabkan prestasi kambing berkenaan seperti berat badan dewasa, tempoh kematangan dan pembiakan akan terjejas. Anak-anak kambing jantan yang mencapai usia 9 bulan perlu dipisahkan daripada anak-anak kambing betina. Ini adalah kerana umur ini adalah untuk yang mana kambing jantan mula mencapai kematangan seksual dan berkebolehan untuk membiak.

5.4.3 Penjagaan kambing dewasa

Kambing-kambing dewasa dikandangkan mengikut jantina. Kambing jantan dan betina dicampurkan hanya apabila hendak dibiakkan. Nisbah kambing jantan kepada kambing betina ialah satu ekor jantan untuk 20 hingga 25 ekor kambing betina. Pada ketika tidak dibiakkan, kambing jantan perlu diletakkan di dalam kandang individual dan tidak dicampurkan dengan kambing jantan yang lain. Ini bertujuan untuk mengelakkan pemangsaan akibat dominasi kambing jantan yang lain.

Salah satu proses yang penting di dalam penternakan ialah proses pemilihan. Proses ini adalah bertujuan menentukan ternakan yang berprestasi tinggi sentiasa berada di dalam ladang. Kambing-kambing yang gagal menunjukkan prestasi yang baik selalunya dikeluarkan dari ladang dan dijual sama ada sebagai ternakan hidup atau disembelih untuk daging.

Pemilihan dilakukan berdasarkan pemerhatian dan pengamatan terhadap ternakan dan dibantu oleh data-data yang telah direkodkan seperti berat lahir, berat cerai susu, kenaikan berat badan harian yang tinggi, jarak kelahiran yang singkat, sentiasa beranak kembar dan berat matang yang dicapai dalam masa singkat.

5.5 PEMASARAN.

Secara amnya, permintaan terhadap daging kambing adalah bermusim dan ini dapat dilihat meningkat terutamanya ketika perayaan-perayaan seperti Hari Raya dan Deepavali. Hasilnya pada ketika musim-musim perayaan, berlaku kekurangan daging kambing dalam negara dan menyebakan fenomena peningkatan sementara pengimportan kambing hidup untuk sembelihan dan daging kambing sebagai makanan. Selain daripada musim perayaan, permintaan terhadap daging kambing tetap ada walaupun harga borong daging kambing agak mahal iaitu di antara RM 15 hingga 25 sekilo. Penggunaan perkapita daging kambing di Malaysia masih berada di tahap rendah iaitu 0.8 hingga 0.9kg.

Ini berkemungkinan besar didorong oleh persepsi orang ramai tentang perkaitan di antara pemakanan daging kambing dan kesihatan. Namun demikian, kajian yang dilakukan oleh USDA mendapati daging kambing kurang daripada segi kandungan kolestrol dan lain-lain parameter yang dipercayai boleh menyumbang kepada masalah kesihatan.

PerkaraKambingAyamLembuBebiriKhinzir
Kalori122162179175180
Lemak (g)2.66.37.98.18.2
Lemak Tepu (g)0.791.703.02.92.90
Protein (g)2325252524
Kolesterol (g)63.876.073.178.273.1
Sumber : Piawai Pengkalan data Nutrient USDA, Julai 2001

Daging kambing mendapat permintaan oleh dipasarkan melalui pasar raya besar atau hypermart seperti LOTUS, JUSCO dan Giant. Selain daripada itu boleh dibekalkan untuk memenuhi permintaan hotel dan restoran. Cabaran utama di dalam industri ini ialah berkemampuan untuk membekalkan di dalam kuantiti yang besar dan berterusan. Namun demikian dengan minat, usaha dan sabar serta menyusun atur strategi yang bersesuaian pasti mampu mengatasi cabaran seterusnya memberi hasil dan pulangan yang lumayan.

Sumber : Jabatan Perkhidmatan Veterinar

Loading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Buka Chat
Scan the code
Hi saya Syamil 👋
Apa yang boleh saya bantu anda?